CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Showing posts with label Arkib. Show all posts
Showing posts with label Arkib. Show all posts

Friday, February 17, 2012

Sambung tangan putus selepas ditetak . Syabas Dr Palani !

KUALA LUMPUR: Lapan jam masa diambil sekumpulan doktor Hospital Gleneagles bagi menyambung semula pergelangan tangan kiri seorang pengurus syarikat insurans yang terputus selepas ditetak seorang lelaki yang cuba menyamunnya dalam kejadian di Jalan Ampang, malam 3 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, mangsa yang berusia 40-an dalam perjalanan untuk bertemu rakan di sebuah restoran memberhentikan keretanya sebaik tiba di tempat kejadian selepas melihat sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki dua lelaki dan seorang wanita mengalami kerosakan dan menawarkan khidmat untuk membantu.

Bagaimanapun, sebaik berhenti dan keluar dari kereta, tiba-tiba seorang daripada lelaki terbabit yang bersenjatakan parang menyerang dan menetak pergelangan tangan kirinya hingga putus.

Mangsa sempat melarikan diri dengan masuk semula ke dalam keretanya sebelum memandu ke Hospital Gleneagles sejauh kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian dalam keadaan tangannya berlumuran darah. Pakar Trauma, Bedah dan Mikro Surgeri hospital berkenaan, Dr R Palani yang mengetuai pembedahan itu, berkata dia bersama seorang lagi doktor bersama-sama dua jururawat, seorang pembantu perubatan dan pemandu ambulans mengambil masa setengah jam untuk mencari tangan mangsa yang tertinggal di kawasan kejadian.


“Keputusan untuk mencari tangan itu dibuat Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan, Dr Marry Anne yang mendesak mangsa memberitahu lokasi kejadian memandangkan kami percaya tangan itu masih boleh diselamatkan.


“Sebaik mangsa memberitahu lokasi, kami segera ke sana untuk mencari dan berjaya menemui tangan itu di atas laluan pejalan kaki kira-kira 100 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menceritakan kejadian itu, Dr Palani berkata, sebaik menerima panggilan telefon daripada rakan setugasnya di wad kecemasan mengenai keadaan mangsa, dia bergegas ke hospital.

“Sebaik tiba, saya mendapati tangan lelaki itu ditetak dengan sekali tetakan dan percaya kejadian itu baru berlaku kerana darah masih memancut-mancut dari tangannya,” katanya.
Dia berkata, melihat keadaan itu, mereka menghubungi polis dan meminta pasukan keselamatan itu mengesan tangan mangsa yang terputus di pergelangan tangan.





CARI...pegawai perubatan Hospital Gleneagles mencari tangan mangsa yang putus ditetak penyamun. 


Katanya, selepas lebih setengah jam menunggu, polis memaklumkan gagal mencari tangan, mangsa sekali gus memaksa mereka mencarinya sendiri.

“Keadaan gelap-gelita di kawasan itu dan petunjuk yang diberikan pesakit menyukarkan kami untuk mencari tambahan pula kami hanya berbekalkan lampu telefon bimbit,” katanya.

Menurut Dr Palani, setakat ini keadaan mangsa stabil dan masih menerima rawatan fisioterapi untuk memastikan tangan yang disambungkan itu kembali berfungsi dengan baik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, menafikan dakwaan doktor terbabit yang mengatakan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan selepas dimaklumkan mengenai insiden berkenaan oleh pengawal keselamatan yang berada di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kelewatan itu berlaku disebabkan maklumat yang diberikan pengawal keselamatan itu kepada pihak berkuasa tidak lengkap.

Mengulas mengenai insiden itu, Khairi berkata, disebabkan sikap mangsa yang suka menolong orang yang mengalami kesusahan, kejadian itu menimpa dirinya.

“Mangsa adalah seorang lelaki yang suka membantu jika melihat orang mengalami masalah dan dalam kejadian itu, mangsa memberhentikan kenderaannya selepas menyangkakan dua lelaki dan seorang wanita yang sedang memeriksa kereta Perodua Kancil di kawasan kejadian mengalami masalah bagi menghulurkan bantuan.

“Seorang daripada suspek yang bersenjatakan parang menyerang mangsa dan cuba menyamunnya sebelum menetak tangan mangsa,” katanya.

Khairi berkata, dalam keadaan tangannya sudah terputus, mangsa berlari masuk ke dalam kereta sebelum bergegas mendapatkan bantuan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kes itu, Khairi mengakui pihaknya sudah merakam percakapan mangsa selain memberitahu, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.


Sumber : Harian metro, 17 Februari 2012

Thursday, July 28, 2011

Perlu cari gol awal

KUNCI untuk menyingkirkan Singapura pada perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 adalah dengan meledak gol awal pada aksi timbal balik di Stadium Nasional malam ini.
Pandangan itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Hassan Sani yang melihat jaringan awal bakal membakar semangat barisan Harimau Malaya selain mematahkan semangat melawan Singapura yang mencatatkan kemenangan 5-3 pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu.

“Tiada apa yang mustahil malam ini. Dua gol yang diperlukan mampu dihasilkan terutamanya apabila memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri seperti kehadiran jumlah penonton ramai serta perbezaan padang. Pemain perlu lupakan segera kekecewaan di Singapura dan memberikan tumpuan sepenuhnya bagi baki 90 minit malam ini.

“Apa yang penting pemain tidak boleh melakukan kesilapan mudah sehingga memberi kesan kepada pasukan seperti memberikan sepakan percuma, penalti dan gol awal,” katanya yang kini berusia 53 tahun ketika dihubungi di Sabah, semalam.

Menurutnya, benteng pertahanan perlu mempunyai seorang pemimpin yang dapat membimbing mereka terutamanya apabila berdepan dengan saat-saat genting.

“Umur pemain tidak penting namun seseorang perlu mempunyai kredibiliti bertindak sebagai ketua di benteng pertahanan. Ketika dulu kami mempunyai Datuk Soh Chin Aun yang membimbing kami ketika beraksi. Jika ada pemain seperti itu, ia pasti membantu benteng negara lebih tersusun,” katanya.


Namun bekas pemain berusia 53 tahun itu percaya barisan pertahanan muda negara sudah mempelajari sesuatu daripada perlawanan Sabtu lalu dan kehadiran semula pemain pertahanan berpengalaman seperti, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak bakal menguatkan semula barisan pertahanan negara.

Sumber : Harian Metro

Safee, Aidil sanggup pikul tugas kapten



Tatkala pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal masih berteka-teki siapakah bakal memakai lilitan lengan kapten pada perlawanan getir menentang Singapura hari ini, dua calonnya, Mohd. Safee Sali dan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak menyatakan kesediaan untuk menggalas tugas berat itu.


Salah seorang mereka yang disenarai pendek Rajagobal mengisi kekosongan besar yang ditinggalkan ketua pasukan, Safiq Rahim selepas dia dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama di Singapura tempoh hari.

Rajagobal bagaimanapun masih mahu merahsiakan sehinggalah pada sesi taklimat pagi ini.
Penyerang berbisa, Mohd. Safee berkata, dia sudah bersedia memimpin skuad sekiranya diberi mandat oleh jurulatih dan baginya, ia bukan satu pengalaman baru.

"Ia bukan satu beban kerana saya pernah menjadi kapten skuad Bawah-23 beberapa tahun lalu. Jika saya dipilih, saya akan buat yang terbaik dan cuba membimbing rakan-rakan sepasukan dengan pengalaman yang ada," katanya yang merupakan pemain paling senior dalam skuad itu.

Sementara itu, Aidil Zafuan bersedia menerima apa jua keputusan Rajagobal hari ini tetapi baginya, soal siapa menjadi kapten tidaklah begitu penting.

"Tugas kapten memang tanggungjawab berat tetapi jika saya dipilih akan saya cuba pikulnya sebaik mungkin. Apa yang lebih penting ialah kami dengan berbekalkan semangat berpasukan tinggi mencapai kejayaan esok (hari ini)," ujarnya.

Sumber : UTUSAN

Cari kemenangan tanpa bolos

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yakin keputusan akan berpihak kepada Harimau Malaya tetapi dengan syarat benteng pertahanan perlu memastikan tiada sebarang kelalaian dan kelekaan seperti yang berlaku pada perlawanan pertama di Singapura, Sabtu lalu.

Beliau berkata, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal juga perlu mempamerkan mutu permainan tinggi - memberi tekanan kepada musuh dengan menyerang, mengawal permainan serta cuba memanfaatkan setiap peluang yang dicipta, maka kemenangan 2-0 yang diburu hari ini adalah tidak mustahil.

“Saya harap perlawanan esok akan menjadi perlawanan memihak kepada kita, saya dapat rasa semangat daripada pemain-pemain dan jurulatih... mereka hendakkan kemenangan.

“Selagi dapat kurangkan kesilapan mudah, ditambah dengan kehadiran ramai peminat membanjiri stadium esok (hari ini), saya yakin kemenangan akhirnya akan memihak kita. Mari kita berdoa dan mengharapkan esok adalah malam keramat,” ujar Tengku Abdullah selepas hadir menyaksikan sesi latihan terakhir pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah menyifatkan ketiadaan Safiq Rahim selaku perancang utama skuad Harimau Malaya sebagai kekosongan besar tetapi hakikat itu harus diterima dan beliau percaya terhadap kemampuan pemain gantian yang bakal mengisi posisi itu.

“Kita kehilangan Safiq, memang satu kehilangan besar, tapi kita kena terima hakikat dia tak boleh main. Kita perlukan pemain gantian yang setanding Safiq, tunjukkan aksi mantap,” katanya.

 
Sumber : UTUSAN

Berjuanglah habis-habisan !


PETALING JAYA - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apa jua tanggapan sekalipun hakikatnya Harimau Malaya perlu menang sekurang-kurang 2-0 ke atas Singapura untuk mengikat kedudukan agregat 5-5 - sekali gus peraturan gol di tempat lawan memihak kita.

Jika semangat lawan Harimau itu diambil kira, tidak mustahil Singapura akan menjadi mangsa kesebelasan anak-anak buah K. Rajagobal.

Keputusan 2-0 mungkin sudah mencukupi buat kita untuk layak ke babak seterusnya, namun ia tetap bergantung sejauh mana benteng negara mampu memperbaiki kelemahan secara total.

Menang perlawanan hari ini, bermakna Malaysia menempa sejarah bola sepak negara untuk pertama kali beraksi dalam saingan kumpulan.

Kehilangan kapten pasukan bukan bermakna penamat buat Malaysia tetapi permainan berpasukan bakal menentukan persembahan.

Apa yang menarik, harapan menjulang rakyat Malaysia untuk melihat kemenangan berbuah tidak sedikit pun tidak menghadirkan tekanan kepada Rajagobal yang tahu para pemainnya sudah matang menangani apa jua situasi.

''Saya tidak fikirkan satu tekanan buat para pemain kerana mereka pernah berhadapan pengalaman yang sama sebelum ini di Stadium Nasional.

''Beraksi di hadapan 100,000 penyokong semasa bertemu Indonesia, mereka semua tahu bagaimana untuk bermain mengikut apa yang diarahkan dan masih mampu kekal fokus.

''Bagi saya kehadiran lebih ramai penonton, lebih baik kerana ia mampu membuatkan sesuatu perlawanan lebih menarik dan memberikan keghairahan buat para pemain," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan Malaysia dan Singapura di Wisma FAM, semalam.

Beliau turut ditemani rakan sejawatannya dari Singapura, Radojko (Raddy) Avramovic dan penyerang Singapura, Fazrul Nawaz dalam sidang media yang dipengerusikan Penolong Setiausaha FAM, Kelly Shatiraj.
Jelas pengendali berusia 56 tahun itu, apa jua perancangan permainan pada malam ini, fokus mereka hanya satu iaitu mahu mencapai kemenangan.

''Perlawanan ini sudah tentu sukar dan kami akan bermain habis-habisan dan penuh bertenaga. Apa jua keadaan, kami hanya mahu mendapatkan kemenangan ke atas Singapura.

''Itu sahaja yang saya tuntut daripada pemain dan saya tidak sangsi mereka mampu melaksanakan misi berkenaan," ujarnya.

Jelasnya, tidak timbul soal moral pemain berada di tahap yang merudum, sebaliknya kekalahan 3-5 tempoh hari mahu ditebus kembali demi maruah negara.

''Para pemain sudah semakin tidak sabar dan telah bersedia sepenuhnya menghadapi Singapura pada malam esok (hari ini).

''Moral mereka masih berada di tahap terbaik dan keyakinan mereka sama sekali tidak berasa jatuh walaupun sedar tanggungjawab yang berat akan digalas, saya lihat semangat mereka itu dalam latihan," katanya.

Sumber : UTUSAN

Sunday, July 24, 2011

Harimau Malaya dijinakkan Singapura

SAFIQ (empat dari kiri) dilayangkan kad merah selepas terjahan keras ke atas pemain lawan, malam tadi.



DRAMA di Kota Singa, malam tadi menceritakan betapa ranjau bertambah sukar untuk Harimau Malaya mahu memasang impian besar layak ke pusingan 3, kelayakan Piala Dunia 2014.

Kekalahan 3-5 kepada Singapura dalam perlawanan pertama, pusi­ngan kedua di Stadium Jalan Besar - segala-galanya terarah kepada kelemahan benteng yang mudah kucar-kacir - menuntut aksi lebih bertenaga apabila anak didik Datuk K Rajagobal melayan lawan bergelar Singa itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai ini.

Tambah perit, skuad negara akan kehilangan kapten pasukan, Safiq Rahim yang dilayangkan kad merah pada awal babak kedua selepas membuat terjahan kasar ke arah pemain lawan ketika dalam situasi tertekan mencari jari­ngan

Sumber : Berita Harian

* Masih ada 90 min lagi di Bukit Jalil. Apa yang diperbaiki ialah benteng pertahanan negara yang begitu rapuh. Raja sepatutnya memasukkan Abd Hadi dan Amirul Hadi utk kebelasan utama. Jangan putus asa okek!

Sunday, July 17, 2011

Malaysia 3 - Liverpool 6



KELALAIAN terus menjadi duri dalam daging buat Harimau Malaya yang mempamerkan aksi menarik untuk memaksa Liverpool bekerja keras sebelum kelab Liga Perdana Inggeris itu menang 6-3 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Percaturan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal mengembalikan gandingan pertahanan Piala AFF Suzuki - Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fadhli Shas dan Asrarudin Putra Omar - ternyata berkesan memastikan gawang negara tidak dibolosi sepanjang 25 minit pertama sebelum pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed memberikan sepakan penalti kontroversi yang disempurnakan Charlie Adam.


KELALAIAN terus menjadi duri dalam daging buat Harimau Malaya yang mempamerkan aksi menarik untuk memaksa Liverpool bekerja keras sebelum kelab Liga Perdana Inggeris itu menang 6-3 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Percaturan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal mengembalikan gandingan pertahanan Piala AFF Suzuki - Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fadhli Shas dan Asrarudin Putra Omar - ternyata berkesan memastikan gawang negara tidak dibolosi sepanjang 25 minit pertama sebelum pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed memberikan sepakan penalti kontroversi yang disempurnakan Charlie Adam.

“Saya akui keputusan begini sering terjadi dan sedikit meruntuhkan semangat pemain, tetapi kita perlu kembali fokus dan itu yang ditunjukkan pemain,” kata Rajagobal pada sidang akhbar sejurus perlawanan.

“Selepas dua perlawanan ini, saya mendapat gambaran lebih jelas untuk menurunkan kombinasi terbaik bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Singapura nanti.”

Skuad kebangsaan yang seketika kecewa dengan jaringan The Reds, bingkas mencari gol penyamaan dan kelebihan Liverpool itu terpadam apabila kapten Safiq Rahim bijak melencong bola dari titik sepakan percuma untuk gol penyamaan tiga minit sebelum rehat.

Pada babak kedua, Rajagobal melakukan beberapa pertukaran untuk menguji pemain tetapi sekadar menyaksikan permainan cantik babak pertama dicemari dua gol David Ngog (m-67, 70) dan satu dari Maxi Rodriguez (m-75) yang mudah menewaskan penjaga gol gantian, Khairul Fahmi Che Mat.


PENJAGA gol Liverpool, Martin Hansen hanya melihat bola rembatan Safee Sali (kiri) untuk gol ketiga Malaysia.

 Namun kemasukan Safee Sali menyaksikan penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki itu menggembirakan penyokong tempatan apabila meledak gol kedua pada minit ke-79 apabila menyambar bola muntah hantaran lintang Amirulhadi Zainal yang gagal ditangkap kemas penjaga gol gantian, Martin Hansen.

Safee yang terlepas aksi ketika kekalahan 0-4 kepada Arsenal, sekali lagi menggegar hasil lorongan cantik Rizal Fahmi untuk menjadikan kedudukan 3-4 tetapi kelalaian benteng negara, membolehkan Rodriguez meledak gol kelima dan Dirk Kuyt melengkapkan kemenangan Liverpool.

Pembantu jurulatih Liverpool, Steve Clarke memuji persembahan pemain kebangsaan terutama Safiq dan Safee.



“Malaysia memaksa kami bekerja keras hari ini (semalam) dan jika corak permainan begitu dikekalkan, saya pasti peluang Malaysia pada kelayakan Piala Dunia nanti cerah. Bagi Liverpool pula, siri jelajah kali ini memberi kami gambaran untuk memperbaiki beberapa kelemahan sebelum musim Liga Perdana Inggeris bermula.”


 
Sumber : Berita Harian, 17/7/2011









Thursday, July 14, 2011

Wenger puji Malaysia

PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger tetap memuji permainan skuad kebangsaan biarpun anak buahnya bermain secara bersahaja ketika mencatat kemenangan 4-0 pada perlawanan persahabatan siri Jelajah Asia kelab gergasi Inggeris itu semalam.
Menurut pengendali dari Perancis itu, skuad Harimau Malaya mempunyai kepantasan namun kurang sengat di bahagian serangan.

“Mereka mengatur permainan dengan pantas, bermotivasi serta tersusun di bahagian pertahanan tapi serangan kurang menjadi,” katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi dengan disaksikan lebih 50,000 penyokong, The Gunners membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pemain tengah Aaron Ramsey pada minit ke-5.

Arsenal yang menamatkan musim lalu di tangga keempat liga menambah jaringan pada minit ke-38 hasil percubaan bintang England, Theo Walcott yang memperdayakan penjaga gol Malaysia Mohd Nasril Mat Nourdin.

Dominasi Arsenal berterusan di babak kedua selepas kemasukan pemain perancang, Samir Nasri dan penyerang Robin Van Persie.

Sumber : Harian Metro

Harimau Muda tewas ditembak Meriam

TANGKAS...Norshahrul mengasak pemain Arsenal, Ryo Miyaichi, semalam.     


Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu yang disaksikan lebih 50,000 penonton, kesilapan tonggak pertahanan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak menjatuhkan Jack Wilshere membawa padah apabila pengadil, Mohd Yussof Mat Karim menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal.

Bintang Wales, Aaron Ramsey tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan itu menewaskan penjaga gol berpengalaman Mohd Nasril Mat Nourdin di minit kelima.

“Saya mahu pemain bermain dengan agresif pada babak pertama untuk memberi tekanan kepada pihak lawan, tapi gol awal Arsenal membunuh permainan ini.

“Kita kena terima realiti mereka pasukan hebat, saya harap pemain dapat mempelajari sesuatu,” kata Rajagobal.

Walaupun cuba mengancam menerusi larian deras di sebelah kiri S Kunanlan namun satu-satunya percubaan bahaya yang dihasilkan Malaysia menerusi sepakan percuma kapten Mohd Safiq Rahim di minit ke-38 berjaya ditepis keluar penjaga gol Wojcieh Szczesny.

Biarpun tanpa bintang Samir Nasri dan Robin Van Persie yang hanya masuk pada babak kedua, The Gunners berjaya menggandakan jaringan menerusi pemain sayap England, Theo Walcott dengan melambungkan bola memerangkap Nasril.

Arsenal terus selesa pada babak kedua apabila percubaan pemain gantian Carlos Vela gagal diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat yang masuk menggantikan Nasril pada minit ke-58 dan Tomas Rosicky minit ke-90.

Selepas Malaysia, anak buah Wenger akan berlepas ke China bagi meneruskan Jelajah Asia menentang Hangzhou Greentown, Sabtu ini.

Pada kunjungan pertama Arsenal ke negara ini pada 13 Mei 1975 mereka tumpas 2-0 kepada skuad Malaysia bimbingan Datuk M Chandran menerusi jaringan legenda Datuk Mokhtar Dahari.

Dua hari selepas itu giliran Isa Bakar pula mencipta nama dengan menyumbat gol untuk skuad Harimau Malaya mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan kedua.

Bagaimanapun zaman berubah, skuad The Gunners ternyata lebih hebat apabila menumpaskan Malaysia 2-0 pada 1999.

Monday, April 25, 2011

~ Wan Jamak pilih skuad Kedah ~



ALOR SETAR - Persoalan siapakah ketua jurulatih Kedah akhirnya terjawab apabila Wan Jamak Wan Hassan dipilih untuk membimbing skuad Kenari.
Bekas jurulatih Negeri Sembilan itu akan diperkenalkan dalam dalam satu majlis di Stadium Darul Aman, hari ini pukul 5 petang iaitu kurang empat jam sebelum sepak mula Kedah menentang Harimau Muda A dalam Liga Super.


Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, pada majlis itu Wan Jamak yang menggantikan Ahmad Yusof akan diberikan jersi skuad Kenari sebagai tanda menjadi sebahagian daripada anggota skuad Hijau Kuning.
"Wak Jamak juga dijadual menandatangani kontrak bersama Kedah pada majlis itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Tambahnya, Wan Jamak dijadual memulakan tugas barunya di Kedah sebagai ketua jurulatih minggu depan setelah proses pendaftarannya sebagai jawatankuasa dalam pasukan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selesai Isnin ini.


"KFA sudah membatalkan pendaftaran Ahmad selaku jurulatih Kedah, semalam dan pendaftaran Wan Jamak akan dibuat Isnin ini," katanya.


Dalam pada itu, Wan Jamak yang sudah berada di bandar raya ini enggan mengulas lanjut perkara itu dan menyerahkan perkara tersebut kepada pengurusan KFA.
"Biar KFA yang umum, itu lebih elok," katanya.


Jawatan ketua jurulatih skuad Kedah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini ekoran keputusan KFA untuk tidak meneruskan khidmat Ahmad.


Pada perlawanan Kedah menentang Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, Selasa lalu, Wan Jamak dilihat turut berada di bangku penonton sekali gus menguatkan kesahihan bahawa beliau bakal menjadi pilihan KFA.
Kedah pada 7 Mac lalu merehatkan Ahmad selepas pasukan bimbingannya mengalami prestasi hambar dengan tugasannya diambil alih oleh penolong jurulatih, Radhi Mat Din.


Ahmad yang membimbing Kedah musim lalu membantu skuad Hijau Kuning muncul Naib Juara Piala FA dan berada di tangga kelima Liga Super.


Bagaimanapun, awal musim ini menerusi enam perlawanan Kedah hanya menang satu perlawanan ke atas Felda United 1-0 manakala seri tiga perlawanan tanpa jaringan menentang T. Team dan Perak serta 1-1 dengan Kelantan dan tewas dua kali kepada Sabah 1-0 dan Selangor 2-0.


Radhi yang mengambilalih pasukan menunjukkan prestasi membanggakan apabila menang enam daripada tujuh perlawanan sekali gus meletakkan Kedah di tangga keempat dengan 24 mata.
Kedah menang ke atas Terengganu 2-1, masing-masing menang tipis satu jaringan dengan Kuala Lumpur, Perlis, Pahang dan Harimau Muda selain menundukkan Negeri Sembilan 2-0 dan kalah kepada Johor FC 1-2.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...