CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Tuesday, March 8, 2011

Cebisah Wardah Terakhir

Along,

            Pusaramu di tepian pantai ini kuziarahi lagi. Aku bertimpuh, kurenjis air mawar agar pusaramu harum dan sesegar ingatanku padamu. Kutaburkan  kemboja putih meliputi pusaramu agar ia seputih salji. Sang bayu yang bertiup lembut membuat suasana sepi, sesepi hatiku sekarang. Kutatap batu nisan yang tegak berdiri kaku, terasa wajahmu seakan-akan tersenyum padaku. Kerinduan padamu membawaku kembali mengenangkan detik-detik ketika bersamamu.

            Segalanya bermula dua tahun lalu, ketika percutian semester pertamaku. Sekembalinya aku dari sekolah hari itu, aku terus mendapatkan emak yang sedang berehat di ruang tamu.

            “Ada surat untuk Shah hari ini, mak?” aku bertanya pada emak.

            “Entahlah Shah, kau lihatlah sendiri di atas meja.”

            Aku bergegas ke sudut ruang tamu rumahku. Aku melonjak gembira apabila mendapati sepucuk surat bersampul biru itu terletak di atas meja. Aku membuka surat itu dengan hati yang penuh berdebar-debar.

            “Shah, Along akan pulang ke tanahair pada penghujung bulan ini, tunggu kepulangan Along.” Ringkas sahaja isi kandungan surat itu.

“ Mak, Along akan balik mak.”

Wajah emak kelihatan berseri-seri apabila aku menyampaikan berita itu padanya. Apa tidaknya, Along yang menjadi kebangaan keluarga akan pulang dari seberang laut. Sebernarnya Along adalah abang tunggalku. Hanya aku dan Along sahaja dalam keluarga selain emak dan ayah. Along telah ditawarkan biasiswa oleh kerajaan untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang di United Kingdom. Along memang petah bercakap, tidak seperti aku yang agak pendiam.

Sejak hari itu, aku mula menghitung tarikh yang telah ditetapkan oleh Along. Tidak sabar rasanya untuk menatap wajah kacak Along yang sentiasa berseri-seri. Begitu lambat rasanya detik berlalu.

Tibalah masa yang dinantikan. Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun untuk menolong emak di dapur, sebelum mengejutkan ayah.

“Mimpi apa kau semalam Shah, tak pernah pun kau bangun awal begini?” Ayah bertanya sambil tersenyum sinis.


Selepas sarapan, kami bertolak ke lapangan terbang dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayah. Pesawat dari UK baru sahaja mendarat. Aku tercari-cari akan Along, yang dapat kulihat hanyalah wajah seorang pemuda yang seiras dengan Along tetapi serasaku itu bukanlah Along.

“Hei, Shah sudah tidak kenal Along lagi?” pemuda itu menyapa aku.

Alongkah itu? Tidak… itu bukan Along, wajahnya cengkung dan pucat sedangkan wajah Along kacak dan berseri. Bukan, itu bukan Along. Aku mula dilanda kesangsian.

“Eh…. Shah tak sedar Along panggil Shah tu.”

“Dengar mak,tapi…. “

“Apa yang bertapi-tapi lagi, inikan Along yang kita rindukan siang dan malam.” Suara emak menyedarkan aku dari lamunan.

Malam itu akan berbual panjang dengan Along, maklumlah sudah dua tahun aku tidak berbual panjang dengan Along. Pelbagai perkara yang kami bualkan. Aku bertanya kepada Along kenapa wajahnya terlalu pucat dan cengkung, tetapi Along seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku. Ah! Biarlah, asalkan Along berada di sisiku.

Sesudah seminggu Along berada di rumah, namun Along tidak seriang dahulu. Along lebih banyak menghabiskan masa di dalam biliknya. Entah apa yang dilakukan, aku sendiri tidak pasti.

Hari minggu begini, aku menghabiskan masa dengan mengemas rumah dan bilikku yang bersepah. Selesai berkemas, tergerak hatiku untuk melihat Along di dalam biliknya. Aku mengetuk pintu.

“Boleh Shah masuk?” Aku bersuara dari luar.

“Masuklah Shah.”

Aku mengamati persekitaran bilik Along, kemas dan bersih. Along memang begitu, terlalu mementingkan kebersihan. Mataku terus menyorot ke sudut bilik, sejadah, songkok, al-quran dan beberapa buah kitab agama tersimpan rapi. Setahu aku dulu Along bukanlah tergolong dalam golongan orang-orang rajin beribadat. Tapi kini, Along terlalu banyak berubah. Tidak, itu bukan satu perubahan yang aneh. Dalam diam aku bersyukur kepada tuhan akan perubahan ini.

“Along membaca semua kitab agama itu?” Tanyaku.

“Ya!” jawab Along dengan nada pendek.
“Shah hairan?” Along bertanya.

“Tidak, cuma…”

“Segalanya boleh berubah Shah, segalanya bersifat sementara.”

“Maksud Along?” tanyaku lagi, sekadar inginkan penjelasan.

“Segalanya adalah bekalan Along untuk menghadapi maut.”

“Along akan mati?” Aku bertanya seperti orang bodoh.

“Semua manusia akan mati. Shah, ayah, dan emak juga akan mati, Cuma kita tidak tahu bila saatnya.”

“Along, jika Along benar-benar sayangkan Shah, ceritakan apa yang telah berlaku pada Along.” Aku bertanya dengan penuh pengharapan.

“Shah, setiap kejadian anugerah tuhan, sebagai hamba kita patut menerima segalanya dengan penuh kesyukuran.”

Perbualan kami terhenti apabila azan zohor berkumandang dari corong radio di dalam bilik Along.

“Shah, kita bersolat bersama ya.”

Hari berlalu, Along kini makin kerap mengasingkan dirinya di dalam bilik, sekali-sekala Along akan keluar bersama ayah tapi entah ke mana. Wajah emak kulihat selalu sahaja muram, seolah-olah dirundung kesedihan. Aku cuba bertanya kepada emak ke mana Along dan ayah, tapi emak juga seolah-olah menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuanku.

Hari itu, ketika keluar bersama ayah, aku memasuki bilik Along yang kebetulan tidak berkunci. Fikiranku berkeceramuk, rahsia apakah yang hendak kucari di sini, botol-botol berisi pil tersusun di atas meja. Apakah makna semuanya ini? Hatiku berdebar kencang. Aku terpandang sebuah buku tebal berkulit hitam di atas meja Along. Aku mencapainya, kuselak helaian demi helaian, rupanya diari Along. Selakkanku terhenti bila tiba di suatu helaian yang betulis dengan pena berdakwat merah. Kuamati catatannya

21 FEB 2004 – aku diberitahu oleh doctor bahawa penyakit barah otakku makin   serius

Pandanganku tiba-tiba kelam, aku terjelepuk di atas lantai. Segalanya terurai kini, kutahu ke mana ayah dan Along pergi selama ini. Patutlah sikap Along benar-benar berubah sejak kebelakangan ini. Aku cuba menahan air mataku yang sudah berkaca, namun aku tewas. Aku menangis semahu-mahunya.
“Shah, kenapa ni?” Terasa bahuku disentuh orang. Ah! Rupanya Along.

“Sampai hati Along menyembunyikan perkara ini daripada pentetahuan Shah.” kataku sebak.

“Maafkan Along, Shah. Along tak bermaksud untuk merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan Shah, Along tak mahu Shah turut bersedih di atas penderitaan yang Along alami. Biarlah Along sendiri yang menanggungnya.”



Pertama kali seumur hidupku aku melihat Along menangis begini. Begitu mahal air mata Along, tapi mungkinkah ianya tangisan yang terakhir daripada Along.

Malam itu Along tidak turun untuk makan malam bersama keluarga. Ayah menyuruhku memanggil Along. Kuketuk pintu bilik Along berkali-kali, namun Along tidak bersuara. Aku mula dilanda cemas. Aku menolak tombol pintu yang tidak berkunci. Kulihat Along berada di atas katil dengan Al-quran diletakkan di atas dadanya.

“Shah, Along sakit, tolong Along Shah.”

Aku menerpa ke arah Along, pada ketika itu juga aku menjerit memanggil ayah dan emak. Kami sekeluarga di sisi Along. Dalam kesakitan, Along masih mampu tersenyum. Ayah dan emak pula memegang tangan Along.

“Mak, ayah, ampunkan segala kesalahan Along, halalkan segalanya.” Aku dan emak menangis teresak-esak tetapi ayah tetap tenang.

“Shah, Along terpaksa pergi dahulu walaupun Along terlalu sayangkan Shah.”

Aku menggenggam erat tangan Along. Air mataku bercucuran mengalir menghempas ke tanah.

“Shah, jangan ditangisi pemergian Along. Simpanlah kitab-kitab itu dengan sebaiknya. Gunakanlah ia sebagai pedoman dan ingatlah pesanan Along, sayangilah ayah dan emak. Bahagiakanlah ayah dan emak dengan kejayaanmu dalam pelajaran, teruskanlah perjuangan Along.”

Keadaan Along semakin nazak, aku dan emak membaca surah Yassin untuk Along. Kasihan Along, betapa peritnya menghadapi detik-detik mautnya. Akhirnya seiring dengan suara azan di subuh hening dan dengan lafaz kalimah Syahadah Along pergi juga akhirnya.

Along,

Sudah lama aku di pusaramu, menatap batu nisan yang kaku dan mengenangkan detik-detik itu. Pastinya tiada siapa yang akan mengerti cetusan hati ini melainkan Allah.
Biarlah aku pulang dahulu. Aku pasti akan datang lagi, untukmu kuhadiahkan al-fatihah dan segugus doa dariku, semoga Along berbahagia di sana, pastinya aku akan menyusulimu nanti kerana nasib kita serupa. Namun seperti pesananmu, aku pasrah di atas segala-galanya. AMIN ….

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...