“Tuhan, aku bukanlah layak untuk Syurga-Mu, tetapi aku tidak pula menanggung seksa neraka. Dari itu, kurniakanlah keampunan kepadaku, ampunkanlah dosa-dosaku ……”
Di kala orang sedang nyenyak tidur dibuai mimpi-mimpi indah, Ani bangun untuk menyembah Tuhannya, meminta dikasihi dirinya yang terlanjur. Dalam keheningan malam, Ani merintih dan merayu bersungguh-sungguh agar dia diampuni. Berjurai-jurai air mata Ani bagai rintik-rintik hujan yang tiada putusnya.
“Kukira orang yang jahat seperti aku ini, tidak layak lagi diberi nyawa, hanya mengotorkan bumi-Mu yang suci ini. Tetapi Engkau Maha Mengasih, walaupun aku telah mengotori bumi-Mu yang suci ini, namun aku masih lagi diberi kenikmatan untuk terus hidup….” Ani tenggelam dalam dunianya. Semua kawannya sedang nyenyak tidur, tetapi Ani tidak peduli. Biarlah orang lain tidur, kerana mereka tidak berdosa seperti Ani. Mereka tidak perlu pada Tuhan seperti Ani.
Ani merasakan dosanya terlalu berat. Lebih berat daripada dosa orang yang berzina, lebih berat dari dosa orang yang meminum arak, lebih berat dari dosa orang yang membunuh, malah lebih berat daripada dosa yang orang lain lakukan, kecuali syirik. Ani masih lagi Islam. Ani tidak pernah menduakan Allah, malahan Ani jarang tinggalkan sembahyang. Tetapi dosa yang Ani lakukan … pernah Allah terbalikkan bumi kerana murkanya dia terhadap orang yang melakukan dosa itu. Begitulah kemurkaan Allah terhadap mereka yang bercinta, berkasih-kasihan sesama jenis. Bermakna sesungguhnya Allah terlalu benci pada mereka itu, hingga tiada lagi keampunan buat mereka. Tetapi itu bukan bermakna Allah zalim! Telah banyak peringatan yang diberi melalui Rasul-rasul-Nya, namun manusialah yang sengaja menzalimi diri meraka sendiri, lantaran itu , mereka tidak sedikit pun mengindahkan larangan Allah. Manusia beginikah yang harus dikasihi lagi? Sewajarnya Allah melakukan sedemikian sebagai peringatan buat umat akhir zaman.
“Ya Allah! Ampunilah dosaku yang terlanjur itu, aku berjanji akan meninggalkan perbuatanku yang terkutuk itu, aku tahu ya Allah, aku terlalu murka terhadapmu. Entah di neraka manakah yang bakal Engkau hambakan diriku yang kotor ini. Aduh….” Semakin jelas tangisan Ani. Ani terbayang neraka yang menyala-nyala apinya menunggu-nunggu kedatangannya untuk dibaham. Ani teringat Ustazah Halimah pernah menceritakan keadaan di neraka kepadanya sebelum ini.
“Wahai Tuhan, Engkau pandanglah hamba-Mu ini dengan belas kasihan-Mu. Janganlah kerana dosaku ini menyebabkan Engkau turunkan bala sepertimana umat terdahulu. Janganlah hanya kerana dosaku seorang sahaja semua orang menjadi korban. Kasihanilah kami, ya Allah.” Ani merasakan yang dia benar-benar berbisik-bisik dengan Allah dan dia begitu yakin. Moga-moga ketika itu Allah medengar akan rintihannya. Rintihan dari hamba yang berdosa itu.
Oleh kerana terlalu khusyuk merayu kepada Allah, Ani tidak menyedari bahawa loceng asrama telah berbunyi. Loceng yang mengejutkan pelajar-pelajar untuk bangun mengerjakan sembahyang subuh. Dua tiga orang pelajar yang sama kamar dengan Ani terkejut melihat Ani tersedu-sedu menangis dengan telekungnya yang dibasahi oleh air matanya. Mereka tidak tahu akan masalah yang Ani hadapi. Sungguh pelik, biasanya Anilah antara orang yang paling susah untuk bangun mengerjakan sembahnyang subuh. Tetapi disiplin sekolah Ani memang begitu ketat. Setiap pelajar diwajibkan bersembahyang berjemaah. Ada pengawas-pengawas yang bertugas untuk memastikan pelajar mengikut peraturan tersebut. Pada waktu subuh, pengawas terpaksa membawa segayung air untuk mengejutkan pelajar-pelajar yang susah bangun daripada tidur. Antara pelajar yang selalu kena dipercikkan air ialah Ani. Tetapi pada pagi itu, Ani amat berlainan sekali. Kamar Mawar menjadi gempar pada pagi itu. Pelajar-pelajar lain berbisik-bisik sesama sendiri kerana melihat kelainan yang berlaku terhadap diri Ani.
Kenapa Ani? Ani sakitkah? Ayah Ani meninggalkah? Atau ibu Ani sakit?
Berbagai-bagai persoalan yang timbul. Semua orang tidak tahu apa yang terjadi pada Ani. Tetapi…. hanya beberapa orang yang terlibat dan beberapa orang ‘senior’ yang tahu tentang perkara yang sebenar berlaku terhadap Ani.
Senior’lah yang meyelidik perkara ini. Bukan mereka saja mengintai. Tetapi masalah seperti Ani kerap berlaku di sekolah itu. Maklumlah sekolah perempuan. Sudah banyak pengalaman yang mereka berhadapan dengan kes seperti Ani. Mereka dapat agak, kalau persahabatan seseorang terlalu rapat, dikhuatiri mereka nanti terlibat dengan lesbian. Sebab itulah Ani dan pasangannya dipanggil berjumpa Ustazah Halimah secara empat mata untuk dinasihati.
“Ani, Ustazah tak menuduh Ani melakukan perbuatan keji itu tetapi ustazah sekadar ingin menasihati Ani agar tidak terlanjur. Ani, orang yang berkasih sesama jenis dikutuk oleh Allah dan segala makhluknya di bumi. Rumput yang Ani pijak setiap hari melaknat Ani. Burung di langit, ikan di laut semuanya mendoakan celaka untuk orang yang buat maksiat. Malah nasi yang Ani makan pun, kalau kita boleh mendengarnya, nasi menangis kerana dimakan oleh orang yang derhaka kepada Allah”.
Ani tunduk. Walaupun Ustazah, dan kawan-kawannya yang lain juga tidak tahu. Tetapi….Ani tidak boleh lari dari pengetahuan Allah!!!!
Allah tahu apa yang Ani lakukan, walaupun Ani bersembunyi! Tanpa disedari air matanya jatuh menitis perlahan-lahan ke atas ribanya.
“Ani”, Ustazah Halimah menyambung lagi. “Bukankah Allah pernah terbalikkan bumi kerana murkanya Dia terhadap Kaum Nabi Luth. Ani, ceritalah pada ustazah, apa masalah kamu sehingga kamu boleh terlibat dengan perbuatan itu….” Ustazah merayu lembut pada Ani. Ustazah Halimah memang terkenal dengan sifat lemah-lembutnya, tetapi dia cukup tegas dengan disiplin sekolah.
Ani masih tetap membisu seribu bahasa. Dia tidak tahu dari mana dia hendak memulakan cerita, tetapi sebenarnya dia malu. Dia malu untuk menatap wajah Ustazah Halimah. Dia malu untuk menatap wajah senior-senior yang tahu masalahnya. Malahan dia malu untuk keluar bertemu dengan semua orang.
“Ani, kamu boleh bersembunyi di dunia tetapi kamu tidak boleh bersembunyi dari ditonton filem kamu di padang mahsyar kelak. Kalau kamu malu pada Ustazah, kecil sangat jika dibandingkan malunya kita di akhirat nanti bila filem lakonan kita ditayangkan pada seluruh manusia yang pernah hidup di bumi sejak Nabi Adam hinggalah umat Nabi Muhammad yang terakhir”. Begitulah panjang lebar Ustazah Halimah menasihati Ani.
Ani akur dengan kata-kata Ustazah. Terasa kecut perut Ani apabila mendengar tentang lakonan yang akan ditonton oleh seluruh umat manusia. Di mana hendak hendak diletakkan muka tatkala itu?
Itulah di antara nasihat-nasihat Ustazah pada Ani tempoh hari.
Sejak Ani berjumpa Ustazah, Ani berubah menjadi seorang yang pediam. Ani lebih suka bersendirian. Yang paling ketara, Ani kerap menangis. Setiap kali terkenang kata-kata Ustazah, Ani jadi takut. Takut kalau-kalau Allah tidak mengampukan dosanya. Sesekali Ani terasa nyawanya di ambang pintu maut, pada waktu itu. Ani seakan-akan mahu meraung-raung meminta agar dosanya diampunkan. Ani takut untuk bertemu Allah dalam keadaan dirinya penuh noda dan dosa.
Sudah seminggu Ani mengurungkan diri. Ani tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun. Malah Suzanna, yang sama-sama terlibat dengan Ani. Ani sudah bertekad, dia hendak memutuskan persahabatannya dengan Suzanna. Dia tidak sangka syaitan telah berjaya memperdayakannya selama persahabatannya itu yang suatu ketika dulu dia hanya menganggap Suzanna sebagai adik angkatnya sahaja. Tetapi lama-kelamaan, hubungan mereka menjadi lebih serius. Mereka menjadi pasangan yang intim, pasangan yang romantik. Pandai syaitan memasukkan jarumnya ke dalam nafsu insan remaja sedang belajar di Sekolah Agama Maahad Tahfiz. Kalau perkara tersebut berlaku di Sekolah St. Mary atau di Sekolah Convent tak kisahlah, tetapi ianya berlaku di sekolah yang mengajar ilmu agama, ilmu ketuhanan!!
Ani tidak lalu makan. Badannya semakin susut. Matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis. Suhu badannya meningkat. Ani demam. Ani terpaksa mengambil cuti kerana demamnya. Mungkin Ani demam kerana terlalu memikirkan dosa-dosa yang dilakukannya.
Masalah Ani masih menjadi tanda tanya bagi Kamar Mawar. Tentu berat masalah yang dihadapinya sehingga boleh menyebabkan Ani terlantar sakit, maing-masing hanya dapat mengagaknya sahaja. Semua senior-senior yang tahu masalah Ani tetap membisu. Pada mereka, biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Mereka kasihan pada Ani. Tentunya Ani malu untuk berdepan dengan mereka. Tetapi mereka sedar, takdir Allah atas sesuatu perkara, pasti ada hikmahnya. Biar malu di dunia daripada malu di akhirat, sekurang-kurangnya masih ada kesempatan untuk bertaubat.
Kak Salbiah, antara senior yang tahu masalah Ani, seringkali menziarahi Ani di Bilik Sakit.
“Assalamualaikum Ani,” Kak Salbiah masuk dengan langkahnya yang taratur sambil senyum kapada Ani.
“Bagaimana demam Ani hari ni? Dah beransur kurang panasnya?” Tanyanya sambil tangannya meraba kepala Ani.
“Kak, orang yang berdoa macam Ani ni buat apalah diziarahi selalu. Kan lebih baik akak ziarah orang lain….”
“Ani, janganlah Ani berkata begitu. Dik, Firaun yang jahat sehingga mengaku dirinya tuhan itu pun masih Allah kurniakan lagi kenikmatan hidup di dunia. Ani, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dik,” Kak Salbiah mengukir senyum lagi.
“Kak, mahukah Allah menerima taubat Ani?” Tanya Ani pada Kak Salbiah. Air matanya bergenang di kelopak mata.
Pilu hati Kak Salbiah mendengar pertanyaan Ani.
“Ani, akak bersyukur Ani telah bertaubat sekarang. Kalau kita bertaubat bersungguh-sungguh dan berazam tidak mahu mengulangi dosa-dosa yang lalu,
inya-Allah, yakinlah yang Allah akan menerima taubat kita.”
“Kak, dosa Ani terlalu berat Kak. Kak, Ani takut kalau-kalau Allah tidak terima taubat Ani. Ani tidak mahu masuk neraka, kak.”
Semakin deras air mata Ani mengalir. Nampaknya dia bersungguh-sungguh bertaubat dari dosanya. Salbiah tahu, hati Ani bersih sebab itulah dia mudah menerima teguran orang. Memanglah manusia mana yang tidak berdosa selain para Nabi yang maksum.
“Ani, Allah tu rahmat-Nya Maha luas, orang kafir yang sepanjang hidupnya menyekutukan Allah, apabila dia mengucap dua kalimah syahadah sekali sahaja, Allah ampunkan segala dosa-dosa yang pernah dia lakukan, umpama dirinya itu seperti bayi yang baru lahir. Begitulah Maha Pengampunnya Allah Taala, Insya-Allah Dia akan ampunkan dosa-dosa yang Ani lakukan.
Lega sedikit hati Ani mendengar kata-kata daripada Kak Salbiah, namun dia masih tetap terbayang-bayang dosa-dosa yang pernah dilakukannya. ‘Filem’nya telah pun dirakam, bererti dia tidak dapat lari daripada ditonton oleh perhimpunan raksasa di padang masyar kelak. Aduh……malunya!
“Kak, Ani rasa lemah sangat Kak Salbiah. Demam Ani semakin teruk. Semalam Puan Zainab membawa Ani ke klinik. Doktor kata, suhu badan Ani naik lagi. Kak, doakanlah Ani. Ani takut unutk bertemu dengan Allah. Ani banyak dosa…….”
Semakin kuat tangisannya. Bilik Sakit menjadi gempar. Dua tiga orang yang lalu di hadapan bilik tersebut, menjengok-jengok di tingkap cermin untuk melihat siapa yang meraung-raung di dalam.
Salbiah panik. Salbiah menyuruh seorang pelajar memanggil Ustazah Halimah di bilik guru. Ani tetap menjerit-jerit.
Tidak lama kemudian, Ustazah Salbiah datang dengan tergopoh-gapah. Ustazah tahu Ani menghadapi tekanan perasaan, terlalu memikirkan dosa yag dilakukan.
“Salbiah, kamu ambil air Yassin di atas almari tu cepat, Ustazah nak sapukan ke muka Ani.” Salbiah menurut sahaja.
“Ani, mengucap Ani. Janganlah diikutkan perasaan sangat. Ingat Allah. Moga-moga Allah akan sembuhkan demam kamu.” Sambil tangan Ustazah itu menyapukan air Yassin ke muka Ani. Tangisannya semakin reda. Usatazah lihat bibir Ani bergerak-gerak. Agaknya dia mengucap, fikir Ustazah.
“Ustazah, Ani dahaga,” suara Ani tersekat-sekat. Mulutnya masih lagi bergerak-gerak. Ustazah lihat ada sesuatu kelainan pada Ani. Cepat-cepat Ustazah menyudukan air Yassin ke mulur Ani. Kemudian Ustazah mengajarkan Ani kalimah syahadah di telinga kanannya.
“Salbiah, kamu ambil Yassin dan bacakan di kepala Ani,” minta Ustazah pada Salbiah.
Salbiah faham. Dia dapat merasakan apa yang Ustazah Halimah rasakan. Memang ada suatu kelainan pada Ani. Matanya asyik memandang ke atas sahaja.
“Ani, ingat Allah sayang. Moga-moga Allah ampunkan dosa Ani.” Menitik air mata Ustazah ke bantal Ani. Ustazah dapat rasakan tidak lama lagi Ani akan pergi. Ustazah tidak sudah-sudah mengajarkan kalimah Allah ke telinga Ani. Sebaik sahaja Ustazah mendengar Ani menyebut Allah, nafasnya putus.
Sebak dada Ustazah. Aliran air matanya semakin deras. Salbiah terhenti membaca. Dipandangnya wajah Ustazah. Kemudian dilihatnya wajah Ani………matanya telah tertutup rapat.
“Ani!!!!!” Terlepas Al-Quran yang dipegangnya tadi. Cepat-cepat Ustazah menghulur tangan menyambut Al-Quran yang terjatuh dari tangan Salbiah tadi.
“Sudahlah Salbiah. Ustazah yakin Ani sempat bertaubat dari dosanya. Biarlah Allah ambil dia. Moga-moga dia tergolong dalam golongan orang yang telah diampunkan dosanya, Amin.”
Ustazah menarik selimut yang menutupi badan Ani dan menutup seluruh badannya hingga ke kepala.
Ustazah tahu, Allah lebih sayangkan Ani, sebab itulah diambilnya Ani dalam keaadan dia telah pun bertaubat.
No comments:
Post a Comment